PADA zahirnya, gelaran jutawan atau 'orang
kaya' mungkin dilihat indah bagi segelintir masyarakat. Mana tidaknya, dengan
wang yang melimpah ruah, golongan ini bukan sahaja mampu memiliki banglo
bertingkat-tingkat bahkan boleh membeli pelbagai jenis kereta mewah serta
sering melancong ke luar negara.
Biarpun
begitu pada pandangan orang, namun bagi empunya badan, Datuk Aliff Syukri
Kamarzaman, 29, kemewahan yang dinikmati bukan untuk dimegahkan, sebaliknya
menjadikannya seorang yang lebih bersyukur.
Membina
empayar perniagaan kosmetik menerusi jenama D'Herbs, Pengasas D'Herbs Holdings
Sdn Bhd ini menegaskan, perjuangannya baru bermula dan beliau masih belajar
untuk berjaya.
“Istilah
orang kaya sangat subjektif, ada beranggapan kaya ini sama maknanya dengan kaya
anak, kaya budi bahasa, kaya kebahagiaan dan kaya harta.
“Jika
kita dah rasa diri ini kaya, sukar untuk ke hadapan dan mudah alpa. Sebenarnya
untuk menjadi Aliff Syukri Kamarzaman sekarang bukanlah perkara yang mudah
seperti anda lihat di Facebook dan Instagram saya.
“Sebenarnya
pelbagai onak duri yang saya lalui, sukar untuk saya ungkapkan dengan
kata-kata,” kata anak jati Kuala Lipis, Pahang.
Menurut
bapa kepada tiga anak ini, kejayaan bagi dirinya amat luas dan beliau masih
bertatih dalam perniagaan.
“Ada
orang berjaya kerana keluarga, berjaya dalam pelajaran dan berjaya dalam
perniagaan. Bagi saya sendiri, saya masih belajar untuk berjaya.
“Saya
sebenarnya meletakkan diri saya seperti baru bermula kerana jika kita letakkan
diri pada tahap sudah berjaya atau kaya, kita tidak akan punyai semangat untuk
berniaga lagi,” katanya.
Bagi
dirinya, masih belum cukup untuk mengejar kejayaan tersebut di mana erti
kejayaan baginya apabila mampu merealisasikan impian untuk jayakan orang
terdekat dengannya.
“Kejayaan
juga bukan sahaja pada segulung ijazah, sebab saya tidak ada diploma, sarjana
muda atau sarjana, tetapi saya ada semangat,” katanya.
Berdikari
sejak kecil
Sebenarnya
apa yang ada hari ini, kata Aliff Syukri, datang daripada pengalaman kesusahan,
cabaran dan hinaan yang dihadapi sendiri.
"Untuk
sampai tahap sekarang, yang beri saya kekuatan adalah cabaran. Saya percaya
sebenarnya untuk menjadi orang hebat perlukan hati yang kental, untuk dapat
hati yang kental kita perlukan cabaran yang hebat.
"Hidup
saya ketika kecil juga susah, tambahan ibu dan ayah telah bercerai, menyebabkan
saya berdikari sejak kecil, apabila berniaga dari darjah satu hingga darjah
enam.
"Orang
lain belanja sehari RM2 tetapi saya belanja sehari 10 sen. Orang lain bawa satu
beg ke sekolah tetapi saya bawa dua beg ke sekolah, di mana terisi jeruk dan
kacang untuk dijual," katanya yang pernah bersekolah pondok di Kelantan.
Aliff
Syukri turut berkongsi penderitaannya yang menghidap penyakit disleksia dan
terpaksa berdepan hinaan dan kecaman sejak zaman kanak-kanak lagi.
"Bila
saya dah besar berumur 22 tahun, baru saya tahu saya ada penyakit tersebut.
Sejak kecil, saya tidak tahu mana kiri dan kanan, tidak ingat nombor kad
pengenalan dan mudah lupa.
"Sekarang
ini masih juga saya alami. Di sebabkan itu, jika iklan di televisyen atau
berlakon, saya tidak melihat skrip. Saya ingat apa yang ingat dan saya percaya
untuk berjaya jangan beri banyak alasan dan percaya pepatah jika kita ingin
rasa manisnya madu, kita perlu rasai sakitnya disengat lebah," katanya
yang cukup terkenal dengan gelaran 'Abang Terlajak Laris'.
Pernah
diludah kerana suara
Biarpun
pelbagai tohmahan pernah dilontarkan kepada usahawan muda ini, Aliff Syukri
tidak pernah mengalah.
“Paling
saya tidak dapat lupakan, adalah saya nak berniaga tetapi duit tak ada.
"Orang
memandang rendah pada saya kerana faktor umur, apabila saya mahu berjumpa
dengan orang, orang persoalkan siapa saya? Ada pangkat Datuk? Kerja apa?
Seolah-olah tiada yang sudi memandang,” katanya.
Tambahnya,
paling terkesan apabila ada juga mengutarakan ayat bahawa orang lelaki tidak
boleh berjaya dalam perniagaan kosmetik.
“Jika
adapun, dia adalah pondan! Dan orang yang biasanya dalam perniagaan kosmetik
adalah orang Indonesia.
“Tohmahan
itu pernah melemahkan saya dan pernah juga orang kata mereka tidak menyukai
suara saya dan pernah ludah di hadapan saya kerana suara saya.