LAUT Mati ialah laut yang mempunyai
air yang sangat masin, sehingga tiada suatu hidupan yang mampu hidup di laut
ini. Jika kita mandi di laut ini, kita akan dapati badan kita terapung-apung
dan tidak tenggelam, lantaran kepekatan airnya.
Di sebalik keistimewaan itu,
berabad-abad lamanya, Laut Mati menyimpan peristiwa bencana yang amat dahsyat,
sehingga bukan sahaja menimpa seluruh penduduknya malah melenyapkan terus
sebuah negeri dan peradaban.
Peristiwa tersebut dirakamkan oleh
Allah s.w.t. dalam al-Quran. FirmanNya yang bermaksud: “Maka ketika datang azab
Kami, Kami balikkan negeri itu, bahagian atas menjadi bahagian bawah, dan Kami
hujani mereka dengan batu daripada tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi,
yang (batu-batu itu) ditandakan (diarahkan) oleh Tuhanmu dan Ia tidaklah jauh
daripada orang yang zalim itu.” (Surah Hud 11: 8283)
Kaum yang dimaksudkan itu
ialah penduduk Sodom dan Amurah
Lokasi bandar Sodom dan Amurah (dalam
Bible disebut Gommorah) dikenal pasti oleh ahli sejarah di barat daya Laut Mati.
Beberapa penemuan sejarah ditemui di kawasan itu kini suatu lembah yang digelar
Valley of Salt.
Bumi di situ didapati mengandungi
kandungan sulfur dan garam yang tinggi. Dipercayai azab yang diturunkan ke atas
mereka daripada hunjaman batu-batu belerang, yang mana selain membunuh manusia,
ia membakar bangunan batu-batu kapur (limestones), yakni bahan membina bangunan
pada waktu itu.
Tanah dan abu yang dijumpai di
kawasan itu mengandungi kalsium sulfat dan kalsium karbonat, iaitu hasil
daripada batu kapur dan sulfur (batu belerang) yang terbakar.
Kedegilan Kaum Nabi Lut Mengundang Azab Allah
Kaum ini dalam kehidupan mereka
mengamalkan perkara yang sangat keji iaitu hubungan homoseksual atau liwat
dalam kalangan lelaki dan lesbian dalam kalangan wanita. Rata-ratanya mereka
berminat sesama kaum sejenis. Ditambah dengan pelbagai maksiat dan kemungkaran
lain seperti penindasan, rompakan, kecurian serta rampasan harta benda dan
sebagainya. Yang kuat mendapat kuasa, manakala yang lemah menjadi korban
penindasan serta penganiayaan.
Allah s.w.t. mengutus Nabi Lut a.s.
untuk berdakwah dan menyeru kaum Sodom agar kembali menyembah Allah dan
meninggalkan perkara keji itu, tetapi mereka mengingkari dakwah Nabi Lut a.s.
Malah mereka suka memperolok-olokkan Nabi Lut sehingga mencabar beliau meminta
didatangkan azab daripada Tuhan.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan
(Kami utus) Nabi Lut. Ingatlah ketika ia berseru kepada kaumnya: ‘Kenapa kamu
lakukan pekerjaan keji (homoseks) yang tidak pernah dikerjakan oleh seorang jua
pun sebelum kamu di muka bumi ini? Sesungguhnya kamu menyalurkan syahwatmu
(nafsu seks kamu) kepada lelaki, bukan kepada wanita. Nyatalah kamu kaum yang
melampaui batas.’ Jawapan kaumnya tidak lain hanya mengatakan, ‘Halaukan mereka
(Nabi Lutdan pengikut-pengikutnya) dari negeri kamu ini. Sesungguhnya mereka
ialah orang yang berpura-pura menyucikan diri.’” (Surah al-A’raf 7: 80-82)
“Maka jawab kaumnya tidak lain hanya
mengatakan: ‘Datangkan kepada kami azab Allah, jika kamu termasuk orang-orang
yang benar.’” (Surah al-Ankabut 29: 29)
Kemudian Allah s.w.t. mengutus dua
malaikat menjelma sebagai pemuda tampan ke negeri kaum Lut. Sebelum itu,
malaikat ini pernah bertamu ke rumah Nabi Ibrahim a.s. untuk menyampaikan
berita gembira bahawa isteri baginda akan hamil dan dikurniakan cahaya mata.
Malaikat itu juga telah menyatakan bahawa mereka akan ke negeri kaum Lut untuk
membinasakan mereka.
Nabi Lut ialah anak saudara kepada
Nabi Ibrahim a.s. Ayahnya bernama Hasan bin Tareh, ialah saudara kandung Nabi
Ibrahim a.s.
Firman Allah s.w.t.: “Dan ketika
utusan Kami (para malaikat) datang kepada Ibrahim membawa khabar gembira,
mereka mengatakan: ‘Sesungguhnya kami akan menghancurkan penduduk (Sodom) ini.
Sesungguhnya penduduknya ialah orang yang zalim.’” (Surah al-Ankabut 29: 31)
Firman-Nya lagi yang bermaksud:
“Berkata Ibrahim: ‘Sesungguhnya di kota itu ada Lut.’ Para malaikat berkata:
‘Kami lebih mengetahui siapa di kota itu. Kami akan selamatkan dia dan
pengikutnya kecuali isterinya. Dia termasuk orang yang dibinasakan.’” (Surah
al-Ankabut 29: 32)
Para malaikat itu kemudiannya
meninggalkan Ibrahim dan menuju ke Sodom. Nabi Lut a.s. berasa cemas kerana
tetamu yang mengunjunginya itu mempunyai rupa paras yang tampan. Baginda takut
tetamunya itu akan dianiaya oleh kaumnya. Namun baginda tetap menjaga mereka
daripada sebarang penganiayaan kaumnya.
Tersebarlah berita dalam kalangan
kaumnya kedatangan lelaki-lelaki tampan di rumah Lut. Lalu mereka berkumpul di
hadapan rumah baginda.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Para utusan malaikat berkata: ‘Hai Lut, sesungguhnya kami ialah utusan-utusan
Tuhanmu. Mereka sekali-kali tidak akan mengganggumu. Sebab itu pergilah dengan
membawa keluarga dan pengikut-pengikutmu pada akhir malam dan janganlah ada
seorang pun antara kamu yang tertinggal, kecuali isterimu.’” (Surah Hud 11: 81)
Azab yang ditimpakan ke atas kaum
Nabi Lut dirakamkan dalam al-Quran: “Mereka dibinasakan oleh suara keras yang
mengguntur, ketika matahari akan terbit. Maka Kami jadikan bahagian atas kota
itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang
keras.” (Surah al-Hijr 15: 74)
Begitulah kesudahan kaum Lut yang
dibinasakan dan dilenyapkan dari muka bumi yang menjadi pengajaran kepada
manusia hingga ke hari kiamat. Allah s.w.t. berfirman: “Dan sesungguhnya kota
itu benar-benar terletak di jalan yang masih tetap (di lalui manusia).
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan
Allah) bagi orang yang beriman.” (Surah al-Hijr 15: 76-77)