MASALAH "MAN BOOBS" DI KALANGAN LELAKI


Buah dada besar ada pada lelaki dianggap agak lucu dan sangat memalukan dan membuatkan lelaki, terutama yang masih muda berasa kurang yakin dengan penampilan diri sendiri. Lelaki tidak sepatut mempunyai buah dada, dada lelaki sepatutnya leper dan berotot tetapi apabila bahagian ini ‘membengkak’, ia akan membuatkan seseorang individu itu tidak selesa dengan bentuk badannya. Malah, mereka biasanya menjadi bahan usikan ahli keluarga atau rakan sebaya. Lebih memalukan jika puting buah dada jelas kelihatan.

Ia menyebabkan mereka malu untuk membuka baju di depan rakan lelaki atau terpaksa memakai singlet (baju dalam) sepanjang masa walaupun ketika bersenam supaya keadaan yang kurang menyenangkan itu tidak menjadi tumpuan atau mencuri pandangan orang lain. Dalam kes lebih teruk, ada lelaki membalut dada mereka dengan kain panjang supaya dada nampak leper.

Masalah yang meresahkan lelaki ini dipanggil ginekomastia. Dari segi perubatan ginekomastia ditakrif sebagai pembesaran benigna (tidak merebak) buah dada lelaki yang boleh berlaku pada semua peringkat umur, termasuk orang tua.

Walaupun masalah ginekomastia ini lebih kerap dilihat pada lelaki yang sangat gemuk atau obes. Pun begitu ada juga sebilangan kecil lelaki yang mempunyai buah dada besar meskipun mereka tidak gemuk; terutama jika mereka melakukan senaman bina badan seperti angkat berat dan makan makanan protein atau menjalani rawatan suntikan hormon. Ginekomastia berlaku apabila keseimbangan hormon lelaki (androgen) dan hormon perempuan (estrogen) terganggu. Setiap orang mempunyai kedua-dua hormon ini pada keseimbangan tertentu yang memberi bentuk atau sifat kelelakian atau kewanitaan. Pada lelaki, antara kesan akibat berlebihan hormon estrogen ialah buah dada menjadi besar atau ginekosmastia. Ia juga mungkin disebabkan tisu buah dada lelaki menjadi lebih sensitif pada hormon estrogen walaupun hormon estrogen berada pada tahap biasa, kata Perunding Pembedahan Plastik dan Kosmetik, Dr Heng Kien Seng. 

Ginekomastia boleh berlaku dalam tiga peringkat iaitu:

# Bayi dan kanak-kanak – Bayi lelaki memang mempunyai banyak hormon wanita yang diperoleh daripada ibu (ketika dalam kandungan) dan dianggarkan 60 hingga 90 peratus bayi lelaki mengalami ginekomastia. Bagaimanapun, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana akan hilang atau susut sendiri dalam masa beberapa bulan apabila bayi semakin besar.

# Akil baligh – Pada keadaan ini berlaku ketidakseimbangan hormon dan ia juga adalah perkara normal yang biasanya bermula ketika kanak-kanak lelaki berumur 10 hingga 12 tahun. Saiz buah dada akan susut sendiri secara perlahan-lahan dalam masa tiga hingga empat tahun. Walaupun boleh berlarutan sehingga selepas berumur 17 tahun tetapi ia jarang berlaku.

# Pertengahan umur dan lebih tua (melebihi umur 45 tahun) – Ada banyak faktor yang boleh menyebabkan keadaan ini berlaku pada orang dewasa antaranya kekurangan hormon androgen (masalah biasa di kalangan lelaki berumur); ada bahagian badan lain yang menukar hormon androgen kepada estrogen (daripada hormon lelaki kepada hormon perempuan) atau akibat pengambilan ubat tertentu.


“Biasanya pembesaran buah dada lelaki berlaku pada dua-dua belah. Namun, ada juga yang berlaku pada sebelah dada saja. Sehingga kini tiada siapa yang tahu mengapa keadaan seperti ini boleh berlaku.

“Bagi lelaki, terutama lelaki muda keadaan ini sangat memalukan khususnya jika buah dada mereka lebih besar daripada teman wanita mereka. Mereka akan berasa tidak selesa dan risau dengan penampilan diri khususnya apabila berada di khalayak ramai,” katanya.

Adakah ginekomastia masalah biasa? Tiada kajian khusus mengenainya di negara kita tetapi secara purata ia berlaku antara 25 hingga 60 peratus pada setiap peringkat yang dibincangkan di atas. Di Amerika Syarikat, ginekomastia adalah antara punca paling lazim yang menyebabkan lelaki menjalani penilaian saiz buah dada. Punca Dr Heng berkata, ginekomastia boleh dibahagikan kepada empat kategori mengikut punca iaitu:

# Ginekomastia idiopatik – dilahirkan dengan buah dada yang besar dan punca sebenarnya tidak diketahui. Hampir 25 peratus kes ginekomastia berada dalam kategori ini.

# Ginekomastia puberti (baligh) – Walaupun ginekomastia akan hilang dalam masa tiga atau empat tahun, tetapi 25 peratus kes terus berlarutan sehingga dewasa dan ini menyebabkan mereka diejek atau diusik.

# Pseudoginekomastia (ginekomastia palsu) – Dalam kes ini, pembesaran buah dada bukan disebabkan kehadiran tisu buah dada sebaliknya disebabkan pengumpulan lemak. Ini biasanya berlaku pada lelaki yang sangat gemuk atau obes (25 peratus). Mereka juga adalah antara kumpulan yang sangat sensitif dengan penampilan diri.

# Ginekomastia benar yang disebabkan: 

a. Pengambilan sesetengah jenis ubat seperti ubat penenang, ubat tidur, ubat gastrik, ubat anti kulat, ubat yang mengandungi hormon estrogen atau mempunyai aktiviti seperti estrogen, ubat yang merangsang penghasilan estrogen dan ubat yang menyekat penghasilan atau tindakan hormon androgen. 

b. Penyakit – contohnya tumor pada testis (iaitu bahagian yang menghasilkan hormon androgen) menyebabkan fungsi testis terjejas, penyakit hati, Sindrom Klinefelter (lelaki mempunyai bahan baka XXY dan bukan XY seperti lelaki normal), tumor pada kelenjar pituitari, sesetengah jenis kanser (kanser paru-paru, perut dan buah pinggang); kegagalan buah pinggang, sindrom kurang sensitif pada androgen atau hipertiroidisme.

c. Penyalahgunaan dadah seperti heroin dan ganja Malah pengambilan alkohol yang berlebihan juga dikatakan boleh menyebabkan sesetengah lelaki mengalami masalah ginekomastia. Namun bagaimana dan kenapa ia hanya terjadi pada golongan tertentu saja masih menjadi misteri.


Saiz Besar mana yang dikatakan terlalu besar untuk lelaki? Perkara ini sebenarnya sangat subjektif, bergantung kepada penerimaan setiap individu. Ada orang tidak kisah walaupun mempunyai buah dada yang agak besar jika dibandingkan dengan saiz normal. Sebaliknya ada lelaki yang sangat sensitif dan berasa kurang selesa apabila buah dadanya dirasakan ‘tidak normal’ dan ‘timbul’ seperti perempuan.

Namun menurut Dr Heng, secara umumnya buah dada lelaki dikategorikan sebagai besar jika garis pusatnya melebihi empat sentimeter (iaitu ukuran daripada hujung ke hujung bahagian yang ‘bengkak’). Ia boleh dirasa dengan tangan; seperti ada benjolan yang anjal di bawah puting. Dalam sesetengah kes yang serius, buah dada lelaki boleh membesar sehingga melendut ke bawah. “Lelaki yang mengalami ginekomastia bimbang jika ia boleh menyebabkan kanser buah dada. Jangan bimbang kerana benjolan benigna ginekomastia tidak akan berubah menjadi kanser. Ia tiada kena mengena dengan kanser. Bahkan ia juga tidak akan menyebabkan masalah kesihatan lain kecuali ia mungkin menjadi lebih besar dan menimbulkan rasa malu.

“Kebanyakan yang datang mendapatkan rawatan adalah lelaki muda dalam lingkungan 20-an. Pada peringkat inilah isu penampilan diri sangat penting dan mempunyai buah dada besar memang boleh menjejaskan keyakinan mereka untuk berhadapan dengan orang lain sama, terutama apabila mahu mencari kerja atau pasangan,” katanya.

Benjolan ginekomastia tidak sama dengan kanser buah dada kerana berasa lembut, anjal dan berasa sakit apabila dipicit. Sebaliknya benjolan akibat kanser pula keras. Dr Heng menyarankan supaya lelaki menjalani pemeriksaan mamogram atau biopsi bagi memastikan pembesaran buah dada mereka bukan disebabkan barah Rawatan Rawatan untuk ginekomastia tertakluk kepada puncanya tetapi secara umumnya ia terbahagi kepada dua, iaitu rawatan bukan pembedahan dan pembedahan. Ada banyak kes ginekomastia tidak memerlukan rawatan seperti yang dialami kanak-kanak atau remaja akil baligh kerana saiz buah dada mereka akan susut sendiri secara perlahan-lahan dalam masa beberapa bulan bagi kanak-kanak dan tiga hingga empat tahun bagi ginekomastia puberti (baligh).

Rawatan bukan pembedahan adalah untuk ginekomastia yang disebabkan pengambilan ubat, penyalahgunaan dadah dan pengambilan alkohol secara berlebihan. Bagi ginekomastia yang berpunca daripada pengambilan ubat atau dadah, buah dada akan kembali ke saiz asal apabila pengambilan ubat dihentikan. Seandainya ia berpunca daripada penyakit hati, maka pesakit perlulah menjalani rawatan untuk merawat penyakitnya terlebih dulu kerana itu yang lebih utama berbanding saiz buah dada.

Jika masalah ini disebabkan kegemukan atau obesiti, cara terbaik untuk menanganinya ialah menurunkan berat badan secara sihat, iaitu melalui amalan pemakanan yang betul dan bersenam, walaupun mereka boleh menjalani rawatan sedut lemak. Apabila berat badan berkurang, lemak yang berkumpul pada tisu buah dada juga akan hilang secara perlahan-lahan dan dada akan tampak lebih berotot.

Sebaliknya jika pembesaran buah dada itu berpunca daripada kekurangan hormon (akibat masalah pada testis), doktor akan memberikan ubat atau suntikan hormon untuk mengembalikan semula keseimbangan hormon androgen dan estrogen. Kaedah pembedahan pula ada dua, iaitu rawatan sedut lemak atau pun pembedahan pembentukan semula buah dada. Kebanyakan kes diatasi dengan pembedahan kerana ramai yang datang berjumpa doktor selepas tiga atau empat tahun mempunyai benjolan pada dada. Lebih lama ia dibiarkan, benjolan akan menjadi lebih keras dan ia tidak boleh disusutkan dengan pengambilan ubat.

“Rawatan sedut lemak hanya boleh dilakukan jika buah dada tidak terlalu besar atau terlondeh – yang menandakan ada banyak lebihan kulit pada buah dada. Jika terlalu besar, lebih baik jalani pembedahan pembentukan semula buah dada.

“Kaedah rawatan sedut lemak yang ada di negara kita kini amat baik kerana ia bukan saja bertindak menyedut lemak tetapi turut menyedut tisu buah dada. Ada orang bimbang apabila menjalani rawatan sedut lemak, lama kelamaan lemak akan berkumpul semula di bahagian dada. “Perkara ini sangat jarang berlaku kerana tempat terakhir untuk lemak berkumpul pada badan lelaki ialah di buah dada. Pembesaran buah dada boleh berlaku semula jika seseorang itu menghidap penyakit (senarai di atas) atau kekurangan hormon lelaki,” katanya. Rawatan sedut lemak menelan kos minimum RM4,500 manakala kos pembedahan pula tertakluk kepada saiz pembedahan itu sendiri yang bermula daripada RM6,000.

Pun begitu, kata Dr Heng, pembedahan hanya dijalankan ke atas calon yang layak saja iaitu mereka yang benar-benar sihat, cukup umur (tidak lagi mengalami tumbesaran), tidak menghidap penyakit berbahaya seperti kanser, sirosis hati dan kencing manis. Bagaimanapun, pesakit kencing manis masih boleh menjalani pembedahan jika penyakit mereka terkawal.

Adakah ginekomastia mempunyai kaitan dengan makanan seperti yang didakwa sesetengah pihak? Dr Heng berkata, pseudoginekomastia mungkin ada kaitan dengan makanan dan masalah itu akan hilang jika pengambilan sesetengah jenis makanan dihentikan. Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan hormon tumbesaran yang disuntik pada ternakan boleh menyebabkan ginekomastia kerana pembesaran buah dada disebabkan berlebihan hormon estrogen bukannya hormon tumbesaran.

“Bagi lelaki yang ingin menjalani rawatan mengecilkan buah dada, pastikan mereka menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dulu. Pastikan juga doktor yang mereka temui itu menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas pesakit bagi memastikan pesakit cukup sihat untuk menjalani rawatan sedut lemak atau pembedahan. Ini kerana jika ada kanser buah dada, sel kanser boleh tersebar ke bahagian badan yang lain ketika rawatan sedut lemak dilakukan,” katanya.

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
hmetro.com.my